Memaparkan catatan dengan label Movie-Bollywood. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Movie-Bollywood. Papar semua catatan

22.6.11

3 iDiOTS.

Masih ingat kisah Rancho, Raju dan Farhan dalam 3 idiots?
Filem Hindi yang ini memang menarik perhatian aku. (Maklumlah aku ni selalu ketinggalan bila sebut pasal filem...asyik review filem lama jer..huhuhu) Aku mengaku aku bukanlah peminat hindi film tapi kalau ada cerita yang menarik aku akan tengok. Filem Tamil yang bagus pun aku akan tonton.
3 idiots (2009) dibintangi oleh Aamir Khan (Rancho), R. Madhavan (Farhan) dan Sharman Joshi (Raju) serta Karina Kapoor (Pia). Kisah menarik tiga lelaki yang belajar di Imperial College of Engineering dan menjadi rakan baik dengan telatah masing-masing yang kadang kala lucu.

Watak Rancho paling aku suka. Bukan sebab Aamir Khan tu hensem, tapi watak tu sendiri yang unik. Rancho sangat suka dengan ilmu dan mempunyai spirit yang bebas dalam mempelajari apa saja. Dia sangat bijak. Dalam masa yang sama Rancho seorang yang setia kawan dan sanggup membantu rakan-rakannya yang bermasalah.

Banyak insiden menarik yang berlaku sepanjang tempoh pengajian mereka tetapi yang paling mengesankan ialah saat Rancho dan rakan-rakannya membantu anak perempuan Profesor Viru a.k.a Virus (yang sering bertelagah dengan mereka) melahirkan anak. Dalam keadaan kecemasan, Rancho berjaya menghasilkan 'vacum' untuk menarik kepala bayi.  'Vacum' khas itu diperbuat  daripada pembersih hampagas biasa. Semangat yang ditunjukkan Rancho untuk menyelamatkan anaknya membuatkan profesor tersebut sangat terharu sekaligus menamatkan perang terhadap Rancho.

Permulaan cerita, Raju dan Farhan yang telah sepuluh tahun meninggalkan kolej mencari Rancho dengan berpandukan maklumat dari Chatur rakan mereka yang sering merasa tidak puas hati terhadap mereka ketika di kolej dulu. Apatah lagi Chatur berazam mahu menunjukkan pada mereka dia akan lebih berjaya daripada Rancho selepas sepuluh tahun. Dalam sepanjang perjalanan itu, mereka kembali teringat saat-saat sepuluh tahun yang lepas sehinggalah mereka akhirnya mendapat tahu Rancho yang mereka kenal bukanlah 'Rancho' yang sebenar.

Jadi siapa sebenarnya Rancho ini? Dia hilang begitu saja menjelang tamat penyampaian sijil sepuluh tahun lalu, tanpa menyapa rakan-rakan atau tanpa menemui Pia (seorang lagi anak perempuan Profesor Virus) yang dia cintai. Dengan sedikit ugutan si Rancho pemilik nama sebenar menceritakan 'Rancho'  yang mereka kenali merupakan anak orang gaji yang bersekolah dan mendapatkan sijil untuknya. Selepas berjaya memperoleh ijazah atas nama Rancho, dia telah memulakan kehidupan sendiri.

Perjalanan mereka berakhir disebuah sekolah di Ladakh. Chatur begitu gembira bila menyangka Rancho yang genius itu hanya seorang guru sekolah. Mereka yang lain termasuk Pia yang dibawa lari dari majlis perkahwinannya, amat seronok bertemu kembali dengan Rancho lalu bertanya nama sebenar si Rancho. Rupanya Rancho ialah si Phunsukh Wangdu seorang saintis terkenal yang mempunyai beratus-ratus paten hakcipta.  Dan sekali lagi Chatur terpaksa mengaku kalah!

Filem ini tidak menekankan tentang cinta asmara sepertimana filem Hindustan yang biasa. Ia lebih kepada persahabatan sejati sesama rakan. Kenapalah aku tak tengok dari dulu lagi?

2.10.10

Raincoat


Baru sebentar tadi aku menonton filem dari Bollywood bertajuk 'Raincoat' dan aku terkejut mendapati aku benar-benar terkesan dengan plot ceritanya. Filem ini setahu aku dikeluarkan pada 2004 dan banyak kali diulang tayang di TV kita. Jalan ceritanya memang lari dari filem-filem cinta Bollywood yang kita pernah tonton. Ceritanya simple, nampak natural dan wataknya; hanyalah beberapa orang pelakon. Lokasi; ruang tamu dan yang penting tiada lagu, tiada sesi tukar-tukar baju dan tiada menari keliling pokok.:)

Kisahnya Manoj/Manu(Ajay Devgan) yang sedang menganggur kerana kehilangan kerja datang ke bandar untuk meminjam wang dari rakan-rakannya tetapi telah bertemu kembali dengan Neeru (Aishwarya Rai) bekas kekasihnya yang sudah lama tiada khabar berita sejak melangkah ke alam perkahwinan. Disinilah yang menariknya dan membuatkan kita ingin tahu siapa sebenarnya Neeru.

Neeru gembira berjumpa Manu dan bercerita tentang suaminya selalu keluar negara, kehidupannya yang telah selesa di bandar itu dan berbagai cerita kemewahan keluarganya. Tetapi dalam ceritanya kita akan rasa pelik dengan perabot yang banyak dalam rumahnya, tentang dia yang takut naik kapal terbang sebab tidak fasih bahasa Inggeris(?), tingkap yang selalu tertutup dan keengganan Neeru membuka pintu sedangkan diluar ada orang menekan loceng banyak kali.

Manu pula berbohong yang dia sudah menjadi ahli perniagaan berjaya untuk menjaga egonya di depan Neeru dan mereka berbual mengenai kehidupan masing-masing dalam hujan yang lebat di luar. Neeru agak cemburu bila Manu menerima panggilan yang menurutnya dari 'setiausahanya' (padahal dari isteri rakan tempat dia menumpang sementara). Sedang bercerita Neeru baru tersedar dia belum menghidangkan makanan kepada tetamunya itu lalu meminta untuk membelinya di luar. Neeru mendakwa dia cuma ada bubur lembik yang dimakan atas saranan 'pakar diet'nya. Dia keluar agak lama sambil meminjam raincoat Manu.

Manu yang keseorangan lemas dengan kesuraman rumah tersebut lalu membuka semua tingkap. Tiba-tiba seorang lelaki memintanya membuka pintu kerana ingin ke bilik air. Selesai menunaikan hajat, anehnya lelaki tersebut enggan keluar. Disinilah kita akan tahu apa yang sebenarnya berlaku kepada Neeru. Mengapa perabot banyak dalam rumahnya, mengapa dia enggan membuka pintu sebarangan, mengapa rumah itu bergelap, mengapa Neeru memakai sari mahal dalam rumahnya sepanjang hari,mengapa dia berdiet dan enggan membuka tingkap.

Rupanya Neeru terperangkap dalam kehidupan yang lebih teruk dari yang dilalui Manu. Suaminya penipu besar. Hutang mereka keliling pinggang. Untuk mendapatkan makanan mereka menyewakan secara diam-diam ruang tamu rumah kepada syarikat perabot untuk dijadikan gudang. Manakala Neeru dan suaminya tinggal di bilik air besar rumah tersebut. Apa yang diceritakan oleh Neeru mengenai kehidupan 'selesanya' cumalah pembohongan yang menyedihkan Manu.

Manu masuk ke bilik air besar yang didiami Neeru dan keadaannya kotor dan penuh kesengsaraan. Atas meja kecil cuma ada semangkuk bubur yang mungkin untuk suaminya nanti dan ketika membuka laci, lipas berkeliaran dengan banyak. Lelaki yang sebentar tadi menggunakan bilik air itu sebenarnya tuan rumah tersebut (dialah yang sering membunyikan loceng pintu ) dan memberitahu Manu sudah 10 bulan pasangan itu tidak membayar sewa mereka. Dalam 2 hari lagi mereka bakal dihalau keluar. Manu merayu tuan rumah supaya menangguhkan pengusiran dan dia sanggup membayar 3 bulan sewa rumah Neeru. Manu menulis satu surat kepada Neeru mengatakan dia telah tahu semuanya dan menyertakan resit bayaran sewa rumah (dibayar dengan wang pinjaman yang diperolehi dari rakannya sebelum ini). Surat itu disorok di bawah cadar.

Sekembalinya Neeru dengan baju hujan yang lencun,dia membawa bersama puri panas untuk Manu. Kali ini Manu melayan sahaja cerita-cerita yang keluar dari mulut Neeru sehinggalah dia pulang ke rumah kawannya kembali. Apa yang mengesankan tentang filem ini Neeru telah terjumpa resit kepunyaan Manu yang akhirnya membuatkan Neeru tahu Manu cuma mereka cerita tentang 'perniagaannya' dan sebenarnya dia amat memerlukan wang. Neeru menulis satu nota dan disertakan dengan gelangnya. Dia berharap Manu menggunakan gelang itu untuk mendapatkan wang yang diperlukan.

Tidakkah ini menarik tetapi tragis? Dua orang kenalan/kekasih lama bertemu semula dalam keadaan kehidupan yang tidak mereka minta dan keduanya menyembunyikan kesusahan masing-masing sehingga mencipta cerita fantasi (yang amat mereka dambakan) demi ego? Tetapi mereka masih mengambil berat antara satu sama lain dengan menghulur pertolongan walaupun kedua-duanya dalam keadaan terdesak memerlukan duit.

Wuahh..cerita ini demikian bagusnya sampai masih berbekas dalam hati dan kepalaku. Realitinya pun ramai antara kita mempunyai sedikit sebanyak pengalaman seperti dalam Raincoat bila terpaksa melalui nasib yang tidak sebaik rakan-rakan lalu mencipta seribu cerita 'kejayaan'. Kita memang tidak ingin dipandang rendah oleh orang lain tetapi mencipta pembohongan bukanlah jalan terbaik. Lebih baik bersyukur apa yang ada dan mencari jalan keluar dari kesusahan itu sebab bila pembohongan terbongkar,tak cukup lubang pula nak sembunyi muka.

blog buku Hud aikara.

  • Pemandu Van Jenazah - Tajuk: Pemandu Van Jenazah Penerbit: Utusan Karya Tebal: 270 m/s Buku ini merupakan kompilasi kisah pengalaman pemandu-pemandu van jenazah yang diceritaka...
    12 tahun yang lalu
PitaPata - Personal picturePitaPata Cat tickers
PitaPata - Personal picturePitaPata Cat tickers

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...